Pemerintahan Dato' Undang Luak Jelebu Dato' Undang Luak Jelebu

Penggiliran pusaka Dato' Undang Luak Jelebu adalah mengikut penggiliran Suku Biduanda Waris Berundang di Jelebu iaitu antara Waris Ulu Jelebu (sulung), Waris Sarin (tengah) dan Waris Kemin (bongsu). Waris Sarin terbahagi kepada Waris Sarin A yang terdiri daripada perut Aur Duri, Peninjau, Kirim Mudek dan Waris Sarin B terdiri daripada perut Kuala Jelebu, Merebau, Jelin.

Bagaimanapun, ketika pemerintahan Dato' Undang Luak Jelebu ke-15, Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman Dato' Musa Wahab, Waris Sarin telah disatukan semula dengan diketuai Dato Lembaga bergelar Dato Raja Penghulu.

Waris Kemin terdiri daripada perut Kemin Hulu, Kemin Hilir, Triang Hilir dan Sungai Pertang. Undang Jelebu pada masa kini ialah Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman Dato' Haji Maarof bin Haji Mat Rashad, iaitu Dato' Undang Luak Jelebu ke-16 daripada Waris Kemin.

Pembesar-pembesar bagi Dato' Undang Luak Jelebu ialah dato-dato Lembaga Delapan yang terbahagi kepada dua talian iaitu Dato Lembaga Talian Adat dan Dato Lembaga Talian Pusaka.

Dato Lembaga Talian Adat:

  1. YM Dato Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari (Suku Biduanda Waris Menteri) - Kepala Talian Adat
  2. YM Dato Mengiang Merah Bangsa (Suku Mungkal 1)
  3. YM Dato Cincang Maharaja Lela (Suku Tanah Datar)
  4. YM Dato Senara Angsa (Suku Batu Belang)

Dato Lembaga Talian Pusaka (Waris Berundang):

  1. YM Dato Ombi Pangkal Maharaja Lela (Suku Biduanda Waris Ombi) - Kepala Talian Pusaka
  2. YM Dato Raja Balang (Suku Biduanda Waris Ulu Jelebu)
  3. YM Dato Raja Penghulu (Suku Biduanda Waris Sarin)
  4. YM Dato Maharaja Inda (Suku Biduanda Kemin)

Orang Besar Dato' Undang Luak Jelebu:

  1. YM Dato Shahbandar (Pucuk Bulat Waris di-Air, Tumpuan Tua Lembaga Dagang)
  2. YM Dato Amar Penghulu Ulu Klawang

Dato Lembaga Kurnia Luak Jelebu. Dato Lembaga Kurnia Luak Jelebu diletakkan di bawah riayah YM Dato Shahbandar, maka haluan sembah kepada TITIAN BALAI UNDANG hendaklah melalui Dato Shahbandar.

  1. Dato Sati (Tua Orang Pilah)
  2. Dato Sura (Tua Orang Rembau)
  3. Dato Indera Perba (Tua Orang Pahang)
  4. Dato Ampat (Tua Orang Minangkabau)
  5. Dato Setia Bangsa (Tua Orang Jawa)
  6. Dato Dagang Jambi (Tua Orang Jambi)
  7. Dato Mangku Setia (Tua Orang Mengkiang Tujuh)
  8. Raja Malim Bendahara (Tua Orang Mendehiling)